Ketinggian Katil Hotel: Isu Kecil yang Jadi Penghalang Besar untuk Pengguna Kerusi Roda

Katil Hotel & Kerusi Roda Isu Besar yang Jarang Disedari

Ramai tidak tahu bahawa ketinggian katil di hotel boleh menjadi penghalang besar kepada pengguna kerusi roda, terutamanya individu dengan Spinal Cord Injury (SCI).

Katil hotel yang terlalu tinggi atau terlalu rendah bukan sekadar masalah kecil. Ia merupakan salah satu cabaran utama selain akses ke bilik air atau tandas. 

Apabila ukuran katil tidak menepati Standard Malaysia MS 1184:2014, ramai pengguna tidak mampu untuk melakukan transfer sendiri dari kerusi roda ke katil. 

Jika menggunakan bantuan orang lain pula, ia memerlukan lebih banyak tenaga, malah kadang-kadang mendatangkan rasa kecewa dan hilang maruah diri

 

 

Gambar katil tinggi hotel

 

Bayangkan selepas penat seharian perjalanan, akhirnya sampai di hotel untuk berehat tetapi terpaksa berdepan dengan cabaran untuk berpindah dari kerusi roda ke katil. Ini realiti yang jarang dilihat orang luar.

Situasi di mana pengguna kerusi roda menghadapi masalah transfer ke katil

Apakah Spesifikasi Katil Hotel Mesra Kerusi Roda?

 

Menurut Standard Malaysia MS 1184:2014: 

    • Minimum tinggi katil mesra kerusi roda ialah antara 450 mm hingga 500 mm.

 

    • Perlu ada ruang kosong sekurang-kurangnya 300 mm antara lantai dan bawah tilam untuk penggunaan hoist atau lif pemindahan.

 

    • Sisi panjang katil perlu mempunyai ruang bebas sekurang-kurangnya 1,500 mm (tidak boleh kurang daripada 1,200 mm).
    • Di hujung katil pula perlu ada ruang bebas sekurang-kurangnya 1,200 mm.

 

    • Ruang manuver minimum di dalam bilik ialah 1,500 mm × 1,500 mm supaya pengguna kerusi roda boleh membuat transfer dari depan atau sisi dengan selamat.

 

 

Untuk memastikan aksesibiliti terjamin, pihak hotel boleh:

    • Memastikan ketinggian katil berada dalam julat mesra kerusi roda, iaitu sekitar 45–50 cm dari lantai.

 

    • Melatih staf supaya memahami keperluan akses pengguna, bukan sekadar menyediakan ruang tandas.
rujukan MS1184-2014 tentang ruang bilik hotel untuk OKU

Masalah Besar: Ketidakselarasan Piawaian

Masalah sebenar tidak hanya terletak pada reka bentuk fizikal tetapi juga pada ketidakselarasan undang-undang. 

Hotel-hotel yang mengejar penarafan bintang seperti dinyatakan dalam Malaysia Standard for Hotel Classification (MS 2446:2012) lebih memfokuskan kepada kemewahan, kelengkapan premium (seperti katil King/Queen dan bilik air dengan jakuzi), serta reka bentuk bilik yang estetik dan elegan.

Namun begitu, piawaian bintang ini tidak mewajibkan pematuhan penuh kepada piawaian OKU (MS 1184:2014). 

Sebagai contoh, hotel lima bintang hanya perlu menyediakan satu atau dua bilik khas mesra OKU jika mereka mempunyai 100 bilik. 

Itulah sahaja keperluan minimum yang ditetapkan. Sekiranya bilik biasa tidak direka khas untuk OKU, ia mungkin mempunyai katil terlalu tinggi, ruang manuver yang sempit, dan bilik air yang tidak boleh diakses pengguna kerusi roda.

 

Kesimpulan

Piawaian MS 1184:2014 (akses OKU) perlu dimasukkan bersama piawaian MS 2446:2012 (penarafan bintang hotel) supaya semua bilik hotel, tidak kira berapa bintang, menyediakan ruang yang benar-benar mesra akses.

Tanpa langkah ini, hotel-hotel akan terus mengutamakan kemewahan tanpa memikirkan hak akses semua orang.

Pernahkah anda mengalami masalah ini? 

Kongsikan pengalaman anda. Semakin banyak kesedaran yang kita sebarkan, semakin besar peluang untuk memastikan tiada lagi hotel di Malaysia yang mengabaikan hak akses OKU.

Artikel Berkaitan