Hari Jururawat Sedunia: Mengenang Budi Jururawat Rehabilitasi Seperti Kak Aisyah

Hari Jururawat Sedunia- Mengenang Budi Jururawat Rehabilitasi Seperti Kak Aisyah

Aku masih ingat hari pertama aku dipindahkan ke Wad Rehabilitasi.

Tubuhku lumpuh separuh ke bawah. Tiada rasa. Tiada semangat.

Yang aku tahu, aku sudah bukan aku yang dulu.

Tapi seorang jururawat menghampiri katilku perlahan.

“Assalamualaikum… saya jururawat kamu. Nama saya Aisyah, boleh panggil Kak Aisyah”

“Tapi kalau kamu nak, saya boleh jadi kakak kamu sementara di sini.”

Dia senyum. Aku hanya angguk kecil, menahan sebak. Pertama kali ada seseorang bercakap bukan untuk ‘rawat’, tapi untuk ‘teman’.

Keesokan paginya, Kak Aisyah datang lagi. Kali ini membawa senyuman dan sehelai tuala kecil.

“Hari ni kita belajar cara tukar posisi badan ya. Boleh cegah luka tekanan. Tak sakit, Kak janji.”

Dia pegang tanganku, bukan sebagai pesakit, tapi seolah-olah aku adiknya yang sedang belajar berdiri semula.

Dia mulakan dengan harapan;

“Kita tak nak luka ni datang balik bila awak dah balik rumah. Saya ajar ya macam mana nak jaga kulit awak, cara tukar posisi badan sendiri, dan kenapa ia penting.”

Kak Aisyah ajar dengan sabar. Tiap kali aku berjaya, dia tepuk tangan dan cakap:

“Haa! Macam ni lah adik kesayangan!”

Dan buat aku tersenyum, buat pertama kali sejak lumpuh.

Beberapa hari kemudian, Kak Aisyah mula ajar aku cara bersihkan kateter.

Aku malu. Rasa hilang maruah.

“Tak apa… ini semua proses. Kak pernah tengok macam-macam. Tapi Kak bangga sebab kamu cuba. Itu yang paling penting.”

Kak Aisyah tak hanya latih aku, dia juga ajar ibu aku cara tukar posisi, cara urus luka dan beri semangat pada kami berdua.

“Kalau keluarga kuat, pesakit pun lebih kuat.”

Waktu tu, aku mula rasa kami satu pasukan.

Dia bukan hanya ajar aku, tapi dia juga sabar seperti ibu. Cara angkat badan aku dengan betul, cara bersihkan luka, dan bila waktu yang sesuai beri ubat pelawas.

Satu malam, aku menangis diam-diam.

Kak Aisyah perasan. Dia duduk di sisi katil tanpa tanya macam-macam.

“Kak tahu… susah. Tapi kamu tak keseorangan. Kak di sini.”

Dan aku… untuk pertama kali, rasa selamat dalam tubuh yang aku sendiri belum kenal.

Kak Aisyah juga tahu nama adik-beradik aku, makanan kegemaran aku, dan mimpi paling aku takut.

“Kalau awak rindu nasi lemak mak awak, kita pesan, tapi awak kena habiskan senaman dulu.”

“Deal, kak!”

Dia buat aku rasa manusia semula. Bukan pesakit, bukan beban.

Hari berganti. Kak Aisyah mula ajar aku senaman ringan.

“Kita kuatkan tangan kamu ya. Biar otot tak lemah sangat. Lepas ni boleh pindah sendiri ke kerusi roda.”

Dia tak pernah paksa. Tapi tiap kali aku berjaya pindah ke kerusi roda sendiri, dia tepuk tangan seolah-olah aku baru menang sukan paralimpik.

“Hebat! Kak tahu kamu boleh. Sebab kamu kuat.”

Aku tak sedar, Kak Aisyah selalu bincang dengan fisioterapis, OT dan pakar diet untuk pelan pemulihan aku.

“Hari ni kita cuba berdiri dengan walker ya. Fisio dah setkan jadual.”

“Saya bawakan susu protein awak lepas tu, kita nak bina otot balik.”

Dia rancang semuanya, bukan untuk ubat semata, tapi supaya aku boleh balik rumah dengan lebih kuat.

Satu petang, aku tanya,

“Kak… macam mana nak hadap semua ni bila balik rumah nanti?”

Dia pandang aku sambil senyum.

“Kamu tak akan hadap sorang. Ilmu yang Kakak ajar tu, bawa balik. Gunakan. Dan jangan lupa… menang tu bukan bila kita boleh berlari. Tapi bila kita tak berhenti mencuba.”

Kini, aku sudah di rumah.

Setiap kali aku tukar posisi sendiri, bersihkan diri tanpa bantuan, atau pindah dari katil ke wheelchair, aku terasa seolah-olah dia masih ada di sini.

Terima kasih, Kak Aisyah.

Kerana dalam diam, kau bukan sahaja pulihkan bukan sahaja jasadku.. Tetapi seluruh hatiku yang pernah hancur.

Selamat Hari Jururawat Sedunia.

Untuk semua jururawat rehabilitasi, terutama yang seperti Kak Aisyah. Kerana tanganmu bukan hanya menyembuhkan, tapi membangunkan jiwa.