Nama aku Iera. Aku dulu student pembantu perubatan di sebuah Kolej swasta. Masa aku praktikal di wad pesakit HIV, aku mendapat jangkitan tuberculosis daripada salah seorang pesakit dalam wad tersebut.
Namun jangkitan tibi tersebut tidak kena pada paru-paru, tapi pada tulang belakang T8,T9 dan pada lutut kiri aku (tb arthritis).
Dua tahun lepas tu aku mengalami kelumpuhan. Aku tak sempat habiskan pengajian aku.
Selepas itu, aku membuat keputusan untuk berkawin. Kemudiannya mengandung. Namun anak yang dilahirkan adalah Cerebral Palsy.
Selepas bersalin, bahagian kaki semakin lemah hingga aku tak boleh berjalan dan mengalami paraplegia.
Satu persatu ujian menimpa diri. Aku merasa susah, sedih dan depresi sangat. Dalam keadaan fizikal yang lemah, anak yang dilahirkan pula tidak normal.
HIE, dia lemas ketika lahir. Dia tak normal macam baby lain pun. Masa lahir tu dah lembik macam kain buruk.
Dia menyusu dengan tiub dan bernafas guna tracheostomi.
Pada mulanya suami dapat terima ujian ini. Namun langit tak selalunya cerah. Dia sudah tidak tahan dengan keadaan fizikal aku yang lumpuh ditambah anak yang dilahirkan adalah seorang yang mengalami celebral Palsy.
Tidak lama lama selepas tu dia ceraikan aku dengan talak 3 atas alasan aku menyusahkan dia dan dia sudah tak ada life dengan keadaan aku dan anak aku yang cacat.
Aku kembali ke pangkuan mak!
Selepas aku operation dan masuk wad rehab, mak uruskan anak. Walaupun keadaan mak yang sudah berumur 70 tahun, tapi demi anak dan cucunya beliau sanggup untuk uruskan anakku. Beliau belajar dressing trachy dan masukkan tiub susu (ryles tube).
Namun, sekali lagi Allah menguji diriku. Anak aku menerima panggilan ilahi.
Aku merasa stress, aku salahkan diri sendiri kerana merasakan tidak mampu menjadi seorang ibu yang baik. Aku tak dapat nak uruskan anak disebabkan aku lumpuh. Tak mampu bergerak untuk follow up dengan pakar hospital.
Selepas anak aku meninggal, aku mengalami tekanan perasaan. Aku rasa bersalah sebab tidak dapat jadi ibu yang baik.
Sebelum ini, aku hanya tidur 3 jam sehari sebab nak kena beri susu dan sedut kahak dua.
Selepas tu aku depress lagi sebab aku tengok kawan-kawan aku anak mereka semuanya normal. Berbeza sangat dengan anak aku, tak pandai senyum dan tak pandai ketawa.
Aku tak pernah dengar suara dia menangis dan dia tak punya peluang menyusu daripada badan aku.
Selepas anak meninggal, aku jadi takut nak tidur sebab rasa macam baby masih ada. Sebab aku kena sedut kahak dia setiap 3 jam sekali. Aku takut dia lemas bila tak sedut kahak tu sedangkan pada ketika itu dia sudah pun tak ada.
Aku jadi buntu. Tak tahu nak mengadu pada siapa, dengan keadaan aku yang lumpuh, anak pula pergi buat selamanya.
Bekas suami pula tinggalkan banyak hutang untuk aku yang OKU ni.
Aku belajar tak habis sebab lumpuh. Jadi susah untuk dapat kerja. Aku pula tak boleh buat kerja berat.
Hutang terlalu banyak, hutang MARA lagi. Kos perubatan pulak mahal yuran dia.
Aku mengalami depresi yang teruk. Aku pernah cederakan diri. Aku gunakan pisau cederakan lengan. Aku tumbuk dinding dan macam-macam lagi.
Aku jadi tak menentu. Namun aku sentiasa pujuk diri aku untuk positif. Aku kena berubah, aku rindukan anak aku di syurga.
Aku kuatkan diri, aku solat, pergi mengaji, pergi masjid dan hadir majlis-majlis ilmu walaupun dalam fizikal yang tidak sempurna. Aku jadi lebih tenang sekarang ini.
Mak banyak bantu aku kembali hidup dalam keadaan yang lebih baik. Jauh daripada tekanan perasaan dan kembali hidup dalam keadaan yang lebih tenang.
Aku terima takdir itu.
* Kisah benar ini diceritakan kepada kami, bagaimana beliau menghadapi depresi yang teruk apabila suami ceraikan beliau. Ditambah dengan hutang yang ditinggalkan suami, tekanan perasaan berada pada tahap yang tinggi.
* Nama sebenar telah diubah atas permintaan beliau untuk menjaga privasi